يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

“ Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada Allah kamu menyembah”. (QS. 2:172)

Monday, February 15, 2010

Sekuntum Bunga Mawar di bulan Februari




Sekuntum bunga, sekeping kad dan sebungkus coklat. Sesiapa sahaja dengan mudah terbayangkan ritual-ritual ini dengan Hari Valentine. Masyarakat kita dewasa ini turut bersama dengan masyarakat seluruh dunia meraikan Hari Valentine. Bagaimana Hari Memperingati Kasih ini bermula? Terdapat pelbagai pendapat tentang asal-usul Valentine.


Memetik sebuah tulisan “Ada Apa dengan Valentine” di halaman web www.eramuslim.com bersumberkan The World Book Encyclopedia (1998), Hari Valentine berasal dari perayaan Lupercalia. Perayaan Lupercalia adalah rangkaian upacara pensucian pada masa Romawi Kuno pada 13-18 Februari. Dua hari pertama, dipersembahkan untuk dewi cinta (Queen of Feverish Love) Juno Februata. Pada hari ini, para pemuda mengambil nama secara rawak dan gadis yang namanya keluar harus menjadi pasangannya selama setahun untuk berfoya-foya dan menjadi objek hiburan. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari segala serigala.

Ketika agama Kristian Katolik memasuki Rom, mereka menceduk upacara ini dan memberikan nilai-nilai Kristiani, antara lain menggantikan nama-nama gadis dengan nama-nama Paus atau Pastor. Di antara pendukungnya adalah Kaisar Konstantine dan Paus Gregory I (lihat: The Encyclopedia Britannica, sub judul: Christianity). Agar lebih mendekatkan lagi pada ajaran Kristen, pada 496 M Paus Gelasius I menjadikan upacara Romawi Kuno ini menjadi Hari Perayaan Gereja dengan nama St Valentine’s Day untuk menghormati St Valentine yang kebetulan mati pada 14 Februari (lihat: The World Book Encyclopedia 1998)

Setelah membicarakan asal-usul Valentine, kita dapat membuat kesimpulan bahawa:

  1. Tidak ada kepastian tentang Valentine, tetapi yang pasti beliau seorang paderi.
  2. Hari Valentine diisytiharkan sebagai hari kebesaran Kristian oleh seorang paderi besar.
  3. Sesetengah versi mengaitkan Hari Valentine dengan kehidupan dewa-dewi.
  4. Kisah Valentine berhubung rapat dengan pelbagai tamadun dan agama namun tidak ada satupun yang mengaitkan Valentine dengan sejarah, ajaran dan tamadun kegemilangan Islam.


Melusuri kesimpulan-kesimpulan di atas, timbul pula persoalan mengapa umat Islam perlu meraikan Hari Memperingati Kekasih ini? Bagaimana Islam melihat Hari Valentine dari aspek akidah, fikrah dan akhlak?

Banyak perbincangan dibuat secara ilmiah tetapi lebih banyak keseronokan disogokkan kepada masyarakat sehingga menenggelamkan perasaaan ingin tahu tentang Valentine di sisi Islam. Kita telah sedia maklum seorang paderi Kristian telah mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih saying demi memperingati kematian paderi mereka Valentine.

Hari Memperingati Kekasih berupaya melekakan dan merosak akhlak masyarakat Islam, terutama di kalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum ke tahap kritikal, namun remaja Muslim akan mendapati mereka akan terjerumus ke lembah maksiat kerana meraikan Valentine bererti menghalalkan batas pergaulan lelaki dan perempuan dan seterusnya mendekatkan diri kepada kemungkinan berzina.

Bermula dari berutus surat, bunga dan coklat, hubung-menghubungi berlaku agar dapat menunjukkan diri mengambil berat akan pasangannya. Ianya diteruskan dengan bertemu dan makan bersama. Peluang berjalan bersama-sama tidak dilepaskan begitu sahaja dan jari-jemari mula bertaut untuk membuktikan betapa kasih dia kepada pasangannya. Tidak cukup berpegangan tangan, bertepuk tampar dan memeluk erat. Ketika ini ‘orang ketiga’ iaitu syaitan membisik agar peluang ini tidak dilepaskan begitu sahaja. Bila nafsu masing-masing tidak dapat dikawal, ada kemungkinan malam larut ditamatkan bersama di ranjang hotel.

Kerana itulah Islam telah menggariskan bahawa bukan sahaja unsur-unsur maksiat, bahkan unsur-unsur ke arah maksiat juga perlu dibendung dan dihindari. Benarlah firman Allah, “Janganlah kamu menghampiri zina…”

Meraikan Valentine jelas bertentangan dengan fitrah seorang Muslim yang beriman kepada Allah dan rasulNya. Valentine hanya salah satu serangan akidah dari orang Yahudi dan Kristian yang akan terus berusaha sedaya upaya untuk membawa umat Islam supaya mengikut ajaran mereka. Allah berfirman yang bermaksud:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) : “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. Orang-orang yang kami berikan kitab kepadanya, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutar belitkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah: 120-121)

Berdasarkan kisah asal-usul Valentine, kita tidak dapat mengaitkan perayaan ini dengan Islam. Oleh itu, ia boleh dianggap sesuatu yang baru dan tidak pernah diajar oleh Allah dan rasulNya. Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdullah, Aisyah r.a katanya “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya, maka ia adalah ditolak.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Kita telah memahami asal-usul Hari Valentine dan bagaimana ia berupaya mempengaruhi akidah, fikrah dan akhlak remaja Islam. Sebelum kita melihat dengan lebih dalam persoalan ini, adalah lebih baik jika kita mengkaji faktor-faktor mengapa Hari Valentine diraikan umat Islam, khususnya di kalangan remaja. Di antara sebab umat Islam meraikan Valentine dapat disenaraikan sebagai:

  1. Tidak faham sejarah bagaimana ia bermula.
  2. Menganggap ia tidak merosak akidah kerana dibuat secara suka-suka sahaja.
  3. Terpengaruh dengan media massa yang mempromosi Valentine secara besar-besaran.
  4. Sikap remaja muslim itu sendiri yang samada tidak endah, malas berfikir atau cepat berpuas hati.
  5. Galakan dari kawan-kawan yang turut sama meraikan Valentine.
  6. Menjadikan artis sebagai idola.


Ketika masyarakat dihidangkan dengan pandangan positif mengenai Valentine yang tidak jelas hala tujunya, kita sebagai remaja Muslim, sebagai ahli masyarakat dan yang paling penting sebagai ibu-bapa Muslim perlu melihat kesan-kesan negatif Valentine untuk dijadikan iktibar pada masa akan datang.

Selain berpotensi untuk menghakis akidah kerana berasaskan unsur bidaah, Valentine juga mengheret kita untuk memikirkan persoalan moral yang sangat panjang. Di antara kesan-kesan meraikan Valentine kepada insan yang mengaku mukmin adalah:

1. Lalai

Meraikan Valentine menyebabkan kita sibuk dengan perkara-perkara yang melalaikan sehingga kita terlupa mencari keredhaan Allah. Meraikan Hari Valentine tidak akan menyebabkan Allah redha kepada kita bahkan hanya menyebabkan murka Allah.

2. Hilang rasa bangga

Rasa gembira dengan perayaan kasih sayang menyebabkan kita mula bertanya apakah agama Islam ini tidak meraikan kasih sayang yang fitrah dan suci ini? Lama-kelamaan kita akan mula merasakan bahawa Hari Valentine sama penting dengan kedua Hari Raya. Oleh sebab Valentine dianggap dari Barat, maka ia sentiasa dianggap moden dan mengikut peredaran zaman. Akhirnya, hilang rasa bangga terhadap hari-hari kebesaran umat Islam Hari Raya Fitri dan Hari Raya Korban. Hari Raya disambut secara fizikal dan material semata-mata, tanpa diisi dengan ruh dan penghayatan.

3. Mengiktiraf

Merayakan hari kebesaran agama lain bererti mengiktiraf, mendukung dan seterusnya mengikuti agama itu. Bukankah telah dinyatakan kepada rasul dan umatnya supaya bersikap seperti di dalam Al-Kafiruun ayat 6, “Bagimu agamamu dan bagiku agamaku”.

Bagaimana harus kita mendukung amalan agama lain sedangkan sepatutnya seorang Muslim sepatutnya sentiasa memperbaharui azam yang disebut di setiap rakaat dalam solatnya iaitu, “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan (bukan pula) mereka yang sesat.”

Ternyata permintaan untuk diberikan jalan yang benar kontradik dengan amalan kita sendiri seperti ia sengaja memilih untuk menjadi kemurkaan Allah. Kerana perkara-perkara seperti inilah, sepatutnya kita menginsafi dan memahami mengapa kadang-kala doa kita Allah tidak makbulkan.

4. Keruntuhan akhlak muda-mudi Islam

Secara umumnya, suasana tenteram umat Islam di dalam suatu komuniti akan terjejas kerana berlakunya maksiat secara kolektif. Keadaan ini mengundang suasana yang kurang selesa untuk sesebuah komuniti jika kemungkaran dibiarkan berleluasa. Kurangnya sensitiviti masyarakat menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada persekitaran maksiat yang hina. Anak remaja mungkin boleh terjebak sama. Ia juga dapat memberi kesan psikologi yang tidak sihat kepada anak-anak yang masih bersekolah.

Melihat kepada kesan-kesan Valentine, mungkin adalah lebih baik jika kita merenung sejenak apakah ini yang kita mahukan untuk anak-anak dan ahli keluarga? Mungkin jika tidak sekarang, suatu hari nanti kita akan terkena tempiasnya. Oleh itu, kita perlu peka dan turut sama berperanan mendidik anak kita dan masyarakat umumnya.

Kita sebagai umat Islam perlu memberi nilai sewajarnya kepada hari-hari kebesaran umat Islam. Hari Nuzul Quran, Hari Keputeraan Rasulullah, Awal Muharram, Isra’ Mikraj, bulan Ramadhan, Aidil Fitri mahupun Aidil Adha. Jika kita mengikut sunnah Nabi, baginda hanya meraikan Aidil Fitri dan Aidil Adha. Namun ia tidak menghalang kita untuk mengingati hari-hari kebesaran yang lain kerana ia menjadi iktibar, pengajaran dan panduan dalam mengamalkan agama yang mulia ini.

Kita sebagai golongan celik Valentine perlu menyampaikan kepada keluarga, sahabat, teman atau kenalan kita tentang asal usul dan hukumnya meraikan Valentine. Sebenarnya masih ada di kalangan umat Islam yang tidak pernah didedahakan dengan persoalan Hari Valentina di kaca mata Islam. Tulisan dan artikel mengenai Valentine di dalam media-media hiburan tidak memberi gambaran yang Islami. Oleh itu peluang membaca, mengkaji atau membicarakan Hari Memperingati Kekasih secara ilmiah tidak dapat sampai ke masyarakat Islam secara umum. Jangan biarkan mereka terus meraba di dalam kegelapan. Sampaikan kepada mereka dengan tenang, sabar dan berhemah, walaupun hanya dengan sebaris ayat. Sabda Rasul, “Sampaikan seruanku walaupun sepotong ayat”.

Kesimpulannya, kasih sayang adalah dipandu Quran dan Sunnah. Di dalamnya sudah terkandung pelbagai saranan tentang hidup berkasih sayang di dalam konteks yang lebih luas. Valentine adalah perayaan yang merosakkan akidah umat Islam dan bidaah yang wajib dihindari.

(Dipetik dari majalah Mihwar Edisi 18 Februari 2004)

No comments:

Post a Comment